Translate

Pengambilan Pelajar Generasi Pertama 2014

Pengambilan Pelajar Generasi Pertama 2014
*Pra Tahfiz Al-Quran (5 Juzuk) *Sistem Pengajian Pondok *Bertalaqqi *Pengajian Kitab Jawi *Pengajian Kitab Arab *Belajar Bahasa Arab *Tiada Pengajian Akademik *Asrama Disediakan

القرآن

Peta Pusat Pengajian Islam Berdasarkan Google Maps


Lihat Pusat Pengajian Islam Mohd Nor Al-Bakri dalam peta yang lebih besar

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Pelan Susun Atur Pusat Pengajian

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

Lakaran Pelan Cadangan Bangunan Pusat Pengajian Islam (Anggaran Kos RM 300,000.00)

VISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

Menjadi pusat ilmu agama dan melahirkan generasi bertaqwa, berqualiti dan memelihara adab-adab Islam dalam rangka mewujudkan Islam sebagai ad-din yang syumul

MISI PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Menyelenggarakan pendidikan ilmu-ilmu Islam bermula dari peringkat bawahan.

· Menyelenggarakan dakwah dan penyumbangan potensi ummat dalam sumbangan pendidikan Islam.

OBJEKTIF PUSAT PENGAJIAN ISLAM

· Mampu menghafal sebahagian atau keseluruhan Al Quran.

· Memahami isi kandungan Al-Quran dan Al-Hadis.

· Kemahiran dalam perkara Fardhu Ain.

· Melahirkan generasi yang berakhlak mulia.

Isnin, Mac 02, 2009

Hakikat Makrifat Dan Taqlid Pada Aqidah


مُقَدِّمَةٌ فِى الإِيْمَانِ وَالإِسْلاَم



بسم الله الحمن الرحيم؛ الحمدُ للهِ الَّذِى أوْجَبَ عَلَى عِبَادِهِ مَعْرِفَةَ أُلُوهِيَّتِهِ؛ وَألْزَمَهُمُ التَّقْوَى وَأقَامَة حَقِّ رُبُوبِيَّتِهِ؛ وَ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى خَيْرِ الأَنَامِ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ مَصَابِيْحِ الظَّلاَمِ؛ وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ





DAN PADA MENYATAKAN HAQIQAT MAKRIFAT



قَالَ مُصَنِّفُ رحمه الله تعالى وَنَفَعَناَ الله بِهِ فِى الدَّاريْن آمين؛





( Dan bahawasanya ) haqiqat ma’rifat itu tiga perkara, iaitu ::



اَلْجَزْمُ الْمُطَابِقُ لِلْحَقِّ عَنْ دَلِيْلٍ

Ertinya::



“I’tiqad yang tetap (jazam), ya’ni tiada berubah (ya’ni sudah diputuskan tanpa berubah lagi), dan tiada syak (ya’ni tiada keraguan lagi) yang muwafaqat (ya’ni sejalan atau selaras) bagi (atau dengan) yang sebenarnya, ertinya bagi diri pekerjaan yang ia i’tiqadkan dia (ya’ni hal keadaan yang dii’tiqadkan itu betul atau selaras dengan apa yang sebenarnya), lagi daripada dalil (ya’ni disertai atau mempunyai dalil atas apa yang dii’tiqadkan itu).




--------------------------------------------------------------------------------



Kita sekarang membincangkan persoalan dan tahap i’tiqad seseorang. Tujuannya adalah untuk mengetahui apakah yang sepatutnya kita lakukan dalam memegang atau mengi’tiqadkan sesuatu perkara yang bersangkut paut dengan soal iman.



Sebagaimana yang dinyatakan dalam matan di atas, hakikat makrifat, atau dengan kata lain hakikat mengenal itu melibatkan tiga perkara iaitu yang disebutkan sebagai jazam, muwafaqat dengan yang sebenar, dan disertai dengan dalil. Perkara-perkara yang dimaksudkan dengan hakikat mengenal itu pula ialah mengenal (الله تعالى) dan Rasul-Nya dan segala perkara yang berkaitan yang wajib diketahui dan dipelajari, untuk mendatangkan iman yang sebenar-benarnya. Dalam hal ini maksud mengenal itu ialah mengenal dengan ilmu pengetahuan yang bersangkut paut dengan perkara yang berkenaan.



Untuk mencapai maksud yang dinyatakan tadi iaitu mencapai hakikat makrifat itu, maka hendaklah kita perhatikan 3 perkara yang disebutkan iaitu::



1) Jazam.



Apa yang kita i’tiqadkan itu adalah sudah nyata, atau putus, atau tetap lagi pasti pada diri kita.



2) Muwafaqat dengan yang sebenarnya.



Apa yang dii’tiqadkan itu pula adalah muwafaqat atau selaras lagi betul dengan apa yang sebenarnya yang wajib kita i’tiqadkan.



3) Dalil



Apa yang dii’tiqadkan itu pula adalah berdasarkan hujah atau dalil dari segi ‘aqal dan naqli (nash keterangan Al-(قرآن) dan hadits).



Maka hendaklah i’tiqad atau pegangan yang dilakukan itu, ya’ni dalam soal keimanan terhadap (الله) dan Rasul-Nya, dan segala perkara, sama ada perkara-perkara nyata atau perkara-perkara ghaib, yang dikhabarkan atau diberitakan oleh Rasul-Nya, dii’tiqadkan atau dipegangi atau dipercayai dengan jazam, muwafaqat dengan yang sebenar, dan disertai dengan dalil (yang menjelaskan apa yang i’tiqadkan itu, dari segi aqal dan nash).




--------------------------------------------------------------------------------



( Maka barang siapa ) tiada jazam (ya’ni tidak tetap, atau berubah pegangan atau pendiriannya) pada i’tiqadnya (ya’ni pada apa yang dii’tiqadkan), maka dinamakan dia (sebagai) jahil Basith – (بسيط) (ya’ni jahil yang terang atau yang jelas kejahilannya).




--------------------------------------------------------------------------------



Keterangan di atas menyentuh soal orang yang tidak jazam atau tidak tetap sesuatu pegangannya dalam soal i’tiqad. Sebab atau punca utamanya adalah ketiadaan ilmu atau jahil tentang sesuatu perkara yang menyentuh soal i’tiqad tersebut.



Sebagai ibarat mudah, katakan seorang itu berada di Seremban dan hendak memandu kereta untuk pergi ke Kuala Lumpur. Akan tetapi, dia tidak tahu jalan untuk pergi ke Kuala Lumpur itu misalnya adalah dengan melalui lebuh raya yang menuju ke arah Sungai Besi dan seterusnya masuk ke Kuala Lumpur. Oleh yang demikian, apabila dia sampai ke persimpangan jalan; iaitu sama ada untuk ke KLIA/Shah Alam/Ipoh dan sebagainya dan/ataupun memandu terus sahaja ke lebuh raya menuju Sungai Besi; maka ketiadaan pengetahuan tentang jalan manakah yang patut diikuti agar dapat memandu masuk terus ke ibu kota Kuala Lumpur menyebabkan pendiriannya sudah tergoncang, berbelah bahagi ataupun tidak tetap. Dia tidak pasti sama ada dia perlu memandu keretanya menuju masuk ke lebuh raya yang menuju ke KLIA/Shah Alam/Ipoh dan sebagainya, ataupun membawa keretanya terus mengikuti lebuh raya ke Sungai Besi. Keadaan di mana orang berkenaan berubah-ubah pendirian atau fikiran; iaitu samada hendak selekoh ke kiri masuk ke lebuh raya menuju Shah Alam ataupun memandu terus ke Sungai Besi; adalah keadaan tidak jazam atau tidak tetap kepercayaannya, bahawa jalan yang mana satu akan membawanya masuk terus ke Kuala Lumpur.



Orang yang tidak jazam atau tidak tetap pegangannya dalam soal i’tiqad, maka orang yang berkenaan diklassifikasikan sebagai orang jahil yang terang lagi jelas kejahilannya, iaitu jahil Basith.



Sebagai misalan dalam soal i’tiqad pula, katakan orang yang berkenaan pada mulanya berpendirian atau berpegangan dalam soal i’tiqad seperti pegangan iman bahawa (الله تعالى) adalah Amat Berkuasa atas tiap sesuatu dan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani hambanya, ya’ni para makhluq ciptaan-Nya. Akan tetapi dia berpegang sedemikian tanpa pengetahuan yang sepatutnya. Jadi, pada mulanya, orang itu percaya bahawa dengan kuasa dan kehendak (الله تعالى)-lah, maka terputusnya kayu apabila digergaji, bukannya gergaji yang memutuskan kayu yang dipotong dengan gergaji tersebut. Kemudian, akibat dia bermain aqal memikirkan sesuatu tanpa panduan ilmu lalu menyebabkannya tersesat. Seterusnya, berdasarkan pemikirannya yang tidak dipandu dengan ilmu itu, maka dia membuat satu kesimpulan sesat lalu menyatakan bahawa gergaji berkenaanlah yang dapat memotong kayu itu, bukan dengan kuasa dan kehendak (الله تعالى).



Jelasnya, orang berkenaan jahil yang terang lagi nyata dalam soal i’tiqad bahawa (الله تعالى)-lah yang Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak. Dia tidak faham lagi tidak belajar soal i’tiqad berkenaan bahawa "dengan kuasa dan kehendak (الله تعالى)-lah", maka terpotongnya kayu yang digergaji itu, bukannya gergaji itu yang menyebabkan kayu yang dipotong itu terpotong. Sedangkan jika dia mempunyai panduan ilmu agama iaitu ilmu tauhid yang benar, dia akan tetap atau jazam pendiriannya bahawa gergaji itu hanya merupakan sebab sahaja walhal segala perkara yang berlaku di dunia ini adalah atas kuasa dan kehendak Tuhan. Jika bukan kuasa dan kehendak (الله تعالى), kayu yang dipotong dengan gergaji itu tidak akan terpotong dua. Perbuatan menggergaji itu adalah hukum sebab musabab sahaja. Sebabnya semua kejadian yang berlaku di dalam dunia ini adalah tertakluk kepada kuasa dan kehendak (الله تعالى). Akan tetapi perbuatan atau af’al (الله تعالى) secara umumnya atau dalam keadaan biasa/normal adalah mengikut "sunnatullah", iaitu peraturan yang ditetapkan oleh (الله تعالى) seperti hukum sebab musabab yang menyebabkan terjadinya sesuatu perkara mengikut kuasa dan kehendak-Nya sebagaimana yang ditetapkan-Nya.




--------------------------------------------------------------------------------



( Dan jika ) jazam ia padanya (ya’ni pada i’tiqad itu) tetapi tiada muwafaqat (ya’ni tidak bersamaan atau tidak selaras) bagi diri pekerjaannya (ya’ni dengan apa yang dii’tiqadkannya maka) dinamakan dia jahil Murakkab – (مركَّب) (ya’ni jahil bersusun atau bertindan-tindan).




--------------------------------------------------------------------------------



Seterusnya, jahil yang kedua ialah jahil murakkab - (مركَّب). "Murakkab" bermaksud "bersusun-susun" atau "bertindan-tindan", ataupun dengan kata lain "berlapis-lapisan". Orang yang jahil murakab adalah orang yang telah putus keyaqinannya (, iaitu jazam) lagi dengan sungguh-sungguh akan sesuatu perkara yang telah diyakininya atau dipegangnya; iaitu apa yang telah dii’tiqadkan dengan pasti lagi sudah diputuskannya sebagai benar. Akan tetapi apa yang diyakini itu tidaklah betul iaitu tidak muwafaqat dengan hal keadaan atau fakta yang sebenar.



Sebagai misalan, katakan satu orang memandu keretanya hendak pergi ke Kuantan apabila dia telah tiba di Kuala Lumpur. Dia yakin dengan bersungguh-sungguh bahawa bandar Kuantan terletak di utara tanah air, bukannya di timur sebagaimana yang sepatutnya. Oleh itu dia memandu keretanya masuk ke lebuh raya untuk menuju ke utara yang mana diyakininya merupakan jalan untuk pergi ke Kuantan. Di sini, dia yakin dan berpegang dengan kukuh lagi yakin dan tanpa ragu-ragu lagi. Lalu dia memandu keretanya dengan arah untuk masuk ke lebuh raya ke utara, ya’ni ke Kuantan menurut keyakinannya. Akan tetapi, dia tidak akan sampai ke Kuantan selama-lamanya, kerana keyakinannya itu yang membawa kepada tindakannya itu pula, tidak muwafaqat dengan fakta atau perkara yang sebenar, iaitu Kuantan terletak di Timur Semenanjung, bukannya di Utara Semenanjung.



Jahil murakab sedemikian jelaslah lebih teruk lagi daripada jahil basith sebelum ini. Orang tersebut mempunyai sedikit ilmu yang diyakininya dengan bersungguh-sungguh sedangkan ilmu itu salah. Oleh yang demikian, dia tidak menyangka pula dirinya masih jahil. Dengan ilmu yang sedikit itulah yang menyebabkannya berkeyakinan dengan jazam atau tetap lagi bersungguh-sungguh, sehingga boleh membawanya kepada sesuatu tindakan yang dilakukannya berdasarkan keyakinannya itu. Akan tetapi apa yang diyakininya itu, dan diikuti dengan apa yang dilakukannya itu, tidak menepati atau muwafaqat dengan hal atau perkara yang sebenar. Inilah jenis orang yang kita katakan "jahil tetapi tidak mengetahui dirinya jahil".



Sebagai misalan dalam soal i’tiqad pula, katakan orang yang jahil murakab tadi berpegang dalam soal i’tiqad seperti meyakini bahawa "amal ibadat dan segala hasanat, ya’ni kebaikan, yang dilakukan menyebabkannya akan mendapat balasan Syurga daripada (الله تعالى)". Maka dia pun teramat yakin bahawa dirinya sudah selamat di Akhirat kerana dia telah banyak melakukan amal ibadat dan segala jenis kebaikan seperti mengeluarkan zakat, atau telah bersedeqah atau menderma berpuluh-puluh ribu ringgit, pergi haji atau umrah berkali-kali, banyak membantu orang susah, dan sebagainya. Walhal mengikut i’tiqad yang sebenar, balasan Syurga itu adalah tertentu pada hak (الله تعالى) untuk mengurniakannya kepada seseorang. Segala amal ibadat yang dilakukannya itu pula hanyalah semata-mata kurnia (الله تعالى) yang diberikannya yang mana menjadikan seseorang hamba itu taat, kuat beribadat, lagi banyak kebaikan yang dilakukan. Bukanlah amal ibadat serta hasanat yang dilakukan itu menyebabkan seseorang itu sudah pasti mendapat ganjaran Syurga, tetapi balasan Syurga itu adalah dengan kehendak dan ketentuan daripada (الله تعالى), ya’ni tertentu pada hak (الله تعالى) yang menentukannya semata-mata. ﴾ والله أعلم ﴿



Mungkin misalan di atas agar sukar difahami untuk sesetengah saudara/i buat permulaan ini. Jadi, di sini saya berikan satu lagi contoh ibarat yang mungkin lebih jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan jahil murakab yang sedang kita bincangkan. Katakan seseorang itu beragama Kristian. Dia yakin dengan seyakin-yakinnya, dan telah putus atau jazam i’tiqadnya, bahawa apa yang diketahuinya adalah Tuhan itu terdiri daripada Tuhan Anak, Tuhan Bapa, dan Tuhan Ibu, ataupun Ruhul Qudus (maaf, saya tidak pasti tentang 3 Tuhan menurut i’tiqad orang Kristian ini); dan dikatakannya pula ketiga-tiganya pula adalah satu Tuhan sahaja. Di sini, jelaslah bahawa i’tiqadnya jazam lagi bersungguh-sungguh ia mempertahankannya, sedangkan apa yang dii’tiqadkannya itu tidak muwafaqat dengan yang sebenar iaitu (الله تعالى) itu Tunggal Lagi Esa. Orang yang beri’tiqad sedemikian jahil lagi tidak mengetahui bahawa dirinya itu jahillah yang kita maksudkan sebagai tergolong kepada golongan jahil murakab.




--------------------------------------------------------------------------------



( Dan jika ) jazam ia padanya dan muwafaqat ia baginya (ya’ni ia sudah tetap pada apa yang dii’tiqadkannya dan apa yang dii’tiqadkannya itu selaras atau bersamaan dengan apa yang sebenarnya) tetapi tiada daripada dalil (ya’ni apa yang dipercayai atau dii’tiqadkannya itu dibuat tanpa dalil, hanya ikut-ikutan, maka) dinamakan dia (ya’ni hal keadaan orang yang beri’tiqad sedemikian iaitu jazam dan muwafaqat tetapi tidak berdalil, sebagai) taqlid.



( Maka barang siapa ) jahil ia pada ‘aqa’id iman (ya’ni simpulan-simpulan iman) yang bergantung (ya’ni yang berkaitan) dengan (الله) dan dengan Rasul-Nya, daripada barang yang wajib diketahui dengan tafsilinya (ya’ni wajib pada syara’ diketahui/dipelajari dengan tafsili, iaitu secara satu persatu), maka tiada ikhtilaf (ya’ni tidak bersalahan atau tidak berbeza pendapat para) ‘ulama’ daripada ketiadaan iman-nya (ya’ni menurut pendapat jumhur ‘ulama’ orang yang sedemikian ketiadaan iman).




--------------------------------------------------------------------------------



Secara dasarnya, maksud yang dinyatakan Mushannif di dalam matan yang saya transliterasikan dengan keterangan di atas adalah seperti berikut. Jika seseorang itu



· telah jazam, ya'ni telah tetap atau tidak bergoncang ataupun tanpa goyah lagi akan sesuatu pegangannya dari segi Aqaidul Iman (iaitu simpulan-simpulan iman), dan

· pegangan atau i'tiqad yang percayainya itu pula adalah i'tiqad yang muwafaqat dengan yang sebenar, iaitu membetuli, atau selaras, atau sama dengan apa yang sebenarnya, yang wajib dipercayainya;



tetapi



· apa yang dii'tiqadkan atau dipercayainya itu hanyalah ikut-ikutan sahaja tanpa dalil atau hujah atau alasan yang wajar (dari segi naqli (ya'ni nash) iaitu: keterangan Quran dan Hadits, dan juga aqli (ya'ni aqal) iaitu dari segi hukum aqal)



maka ia termasuk ke dalam kategori orang yang bertaqlid.



Sebelum saya menghuraikan persoalan ini dengan lebih lanjut, saya rasa mulai sekarang ada baiknya jika saya perincikan atau menjelaskan dengan lebih lanjut akan maksud jazam, muwafaqat, dan taqlid, dalam menyentuh persoalan haqiqat makrifat ini.



Sebagai mengulang lagi mentahqiq pelajaran/muzakarah kita, apa makrifat yang dimaksudkan di sini? Ketahuilah saudara/i, makrifat yang dimaksudkan di sini adalah mengenal atau mengetahui, yang mana membawa kepada maksud "pengetahuan". Maksud pengetahuan itu pula ialah memperolehi sesuatu mengikut haqiqatnya.



Terkeluar daripada pengetahuan itu empat perkara yang saya senaraikan dan jelaskan di bawah::



1) JAHIL



Jahil terbahagi kepada dua, iaitu jahil basith dan jahil murakkab.



Jahil basith atau jahil mudah yang bermaksud tidak tahu sama sekali. Misalnya, seseorang itu ditanya::



"Apakah alam ini qadim atau baharu?".



Lalu dia menjawab,



"Aku tidak tahu sama sekali!".



Jahil murakkab, iaitu mengetahui lain daripada sifatnya yang sebenar. Jahil ini dinamakan demikian kerana terdapat dua jenis kejahilan berlapis atau bertindan, iaitu::



a. Jahil tentang perkara yang sebenar, dan

b. Jahil tentang kejahilan dirinya yang disangkanya berpengetahuan.



Misalnya ialah i'tiqad para ahli falsafah yang menyatakan dan berpegang atau percaya bahawa alam ini qadim (ya'ni sedia ada, bukan dicipta).





2) SYAK



Syak bermaksud meragui sesuatu itu ada dan tiada menurut pertimbangan aqal yang timbangan beratnya adalah sama (umpamanya, 50 peratus sesuatu itu ada, dan 50 peratus lagi sesuatu yang dimaksudkan itu tiada).





3) ZHAN



Zhan pula bermaksud hati seseorang itu lebih berat ke arah mengetahui daripada tidak mengetahui. Misalnya pada pertimbangan aqalnya, 75 peratus sesuatu itu ada, manakala 25 peratus lagi ianya tiada.





4) WAHAM



Waham pula bermaksud hati seseorang itu lebih berat ke arah tidak mengetahui daripada mengetahui. Misalnya pada pertimbangan aqalnya, 25 peratus sesuatu itu ada, manakala 75 peratus lagi ianya tiada.





Orang yang bersifat dengan salah satu daripada empat perkara di atas dianggap tidak beriman. Umpamanya, seseorang yang mengi'tiqadkan (الله) dan Rasul-Nya secara



· jahil, ataupun

· dengan curiga dan syak, atau

· dengan zhan, atau

· dengan waham.



Maka orang yang sedemikian i'tiqadnya dianggap kafir. Jadi, sedarlah saudara/i, sekali lagi saya ulangi kerana amat penting lagi perlu. Sesiapa yang beri'tiqad dengan salah satu daripada empat sifat di atas (iaitu syak, zhan, waham, dan jahil) terhadap sesuatu aqidah (yang mana akan kita sentuh atau bincangkan pada masa akan datang -(ان شاء الله تعالى) - ), maka orang berkenaan dianggap kafir menurut ittifaq iaitu kata sepakat para ulama'.





Seterusnya, menurut qaul yang sebenar, ilmu dan makrifat itu adalah sama. Cuma yang berbeza ialah (الله سبحانه وتعالى) dikatakan 'Alim (Maha Mengetahui), bukan 'Arif (mengenali). Sebabnya, makrifat itu hanya wujud selepas jahil yang mana jelas berbeza dengan keadaan ilmu iaitu mengetahui. (والله أعلم).



Qaul yang saya sebutkan di atas adalah qaul yang mentahqiq atau qaul yang menghalusi yang mana tidak menyebut bahawa makrifat dan ilmu itu adalah sama dalam pengertiannya. Di sini, ilmu yang saya maksudkan ialah ilmu dari segi/pihak kita iaitu ilmu jenis 'alam/baharu, bukan ilmu (الله تعالى) yang qadim. Makrifat dan ilmu itu (ya'ni kedua-duanya) dalam konteks yang saya maksudkan itu membawa makna yang satu iaitu jazam muwafaqat mengenai kebenaran dengan dalil.



Maksud jazam adalah keyakinan dalam pegangan. Terkeluar daripada jazam tiga perkara iaitu::



1) Syak

2) Zhan, dan

3) Waham



Terkeluar daripada kata-kata muwafaqat terhadap kebenaran itu pula jazam yang tidak muwafaqat terhadap kebenaran. Ianya tidak dinamakan makrifat tetapi jahil murakkab sepertimana jazam golongan Nasrani yang mengatakan Tuhan itu terdiri daripada tiga di mana mereka jazam dalam mengatakan (الله) itu satu daripada tiga Tuhan iaitu Tuhan bapa, Tuhan anak yang berupa Isa, dan Tuhan ibu yang berupa Maryam. Demikianlah juga halnya jazam golongan Majusi yang menyatakan bahawa Tuhan itu dua iaitu nur atau cahaya dan zhulmah atau gelap. Mereka menyatakan nur itu merupakan Tuhan yang melakukan kebaikan, dan zhulmah itu pula Tuhan yang melakukan kejahatan.



Jazam yang muwafaqat dengan kebenaran tanpa dalil pula dinamakan taqlid. Tegasnya, jazam yang sedemikian sifatnya tidak dinamakan makrifat, dan tidak juga dinamakan ilmu. Pada asasnya, perbuatan bertaqlid dari segi Aqidah adalah mengi'tiqadkan (الله) dan Rasul-Nya semata-mata kerana mengikut kata orang lain tanpa sebarang dalil yang mempastikan kebenaran taqlidnya atau ikutannya itu.



PERSOALAN BERKAITAN DENGAN TAQLID DARI SEGI AQIDAH





Adapun iman orang yang taqlid, maka bersalahan ‘ulama padanya (ya’ni berbeza pendapat ‘ulama atas orang yang beriman secara taqlid, iaitu tanpa mendatangkan dalil secara satu persatu akan setiap apa yang menjadi pegangannya/i’tiqadnya).



( Bermula ) makna taqlid iaitu mengikut orang lain (secara jazam/tetap dan muwafaqat/selaras/betul dengan yang sebenarnya) pada i’tiqadnya (ya’ni pada pegangan/kepercayaan, atau ‘aqa’id iman) padahal tiada daripada dalil (ya’ni hanya ikut-ikutan sahaja dan tidak dapat mengeluarkan dalil atau tidak mempunyai dalil atas apa yang dii’tiqadkannya itu yang mana menurut sebagaimana i’tiqad orang lain).







Para ulama' berselisihan pendapat dalam soal iman orang bertaqlid, ya'ni iman orang yang sifatnya yang saya sebutkan sebelum ini, iaitu orang yang jazam yang muwafaqat dengan kebenaran tetapi ketiadaan dalil.



Menurut satu qaul yang dhaif, iaitu qaul yang lemah, sesetengah ulama' mengatakan bahawa orang yang demikian sifatnya adalah kafir secara mutlak. Qaul ini selaras dengan qaul Abu Hasan Juba'iy daripada golongan Muktazilah.



Menurut qaul yang lain, orang yang demikian sifatnya adalah mukmin yang derhaka secara mutlak, manakala satu qaul yang lain pula, orang yang demikian sifatnya adalah mukmin yang tidak derhaka secara mutlak.



Qaul yang rajih adalah orang yang demikian sifatnya (iaitu orang yang bertaqlid) adalah



i) seorang mukmin yang derhaka jika ia berupaya membawakan dalil kerana ianya seorang yang cerdik, dan

ii) seorang mukmin yang tidak derhaka jika ia tidak berupaya membawakan dalil kerana ia seorang yang bodoh atau kurang cerdik.



Memandangkan para pembaca yang mengikuti Syarh ini hanyalah umumnya adalah terdiri daripada orang yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, dan dilakukan secara maya pula, pada hemat saya cukuplah setakat ini sahaja saya huraikan. Sebenarnya, perkara ini perlu diperhalusi lagi kerana perselisihan ini berdasarkan kepada perselisihan dari segi nazhar (ya'ni pandangan). Perkara seperti ini mungkin akan dapat saya cuba huraikan sekiranya saya menerangkan dapat menerangkannya secara bersemuka pada masa akan datang. (إن شاء الله تعالى).





والله الموفق أعلم ؛ وصلى الله على محمد كلما ذكره الذاكرون؛ وغفل عن ذكره الغا فلون ؛ والسلام عليكم ورحمة الله وبركته



(Dari Kitab Hidayatus-Sibyan)

Tiada ulasan: